PN akan terus sokong kerajaan jika patuh nilai integriti

0
447

PERIKATAN Nasional (PN) akan meneruskan sokongan kepada kerajaan selagi ia tertakluk kepada kepatuhan terhadap prinsip dan nilai integriti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

Selain itu, katanya kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri. 

“Saya menegaskan PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagi prinsip ini dipatuhi.

“Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mesti dipastikan bebas menegakkan keadilan tanpa diganggu gugat sesiapa semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta ketua sayap PN, Datuk Seri Rina Harun.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, sistem politik negara tidak boleh dikawal mereka yang rakus kuasa.

Beliau berkata, proses pembaharuan politik yang dimulakan rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, perlu diteruskan.

Katanya, dunia yang semakin pesat dengan kemajuan teknologi maklumat melahirkan rakyat semakin bijak berfikir serta menilai, sekali gus tidak ada parti politik boleh kekal berkuasa secara dominan selama-lamanya.

Beliau percaya, rakyat kini bijak menilai dan tidak akan berkompromi dengan parti yang menggadaikan prinsip dan nilai integriti serta penanggungjawaban kepada rakyat.

“Kerana itu, sistem parti dominan sudah runtuh selepas PRU-14. Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat Persekutuan.

“Di Sarawak, parti yang dulu komponen BN mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mentadbir kerajaan negeri Sarawak secara sendiri. 

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, parti politik yang bertanding membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GPS) yang mentadbir kerajaan,” katanya.

Muhyiddin turut mengakui ada pihak ragu apabila PN terbentuk dan bertanya bolehkah ia menjadi gabungan politik yang kuat dan diterima rakyat.

Namun katanya, terdapat petanda positif menunjukkan PN semakin diterima rakyat, terutama dalam dua PRN sebelum ini. 

“Dalam PRN Sabah, PN mendapat sambutan amat baik daripada rakyat Sabah. Kita memenangi jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti membentuk GRS.

“Dalam PRN Melaka, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, kita menyaksikan peralihan sokongan ketara kepada PN terutamanya dalam kalangan pengundi muda,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here