Lima jari kaki sudah dipotong, Bad Indigo ulang alik hospital cuci luka

0
389

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitu juga dengan keadaan yang dihadapi oleh suami kepada penyanyi Ashira, Bad Indigo yang menghidap penyakit diabetes sejak beberapa tahun yang lalu.

Kelima-lima jari kaki kirinya sudah dipotong dan dia perlu berulang-alik ke hospital bagi membersihkan luka pada bahagian tersebut.

“Lima jari kaki kiri telah dibuang dalam proses pembedahan yang dilakukan secara berperingkat iaitu pada bulan Januari, Mac dan September lalu. Sejak keluar dari hospital awal tahun lalu lagi saya memang kena guna ‘walker’ untuk bantu pergerakan.

“Paling susah nak urus diri adalah dalam tandas. Tapi nak tak nak, kena buat juga. Saya juga uruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan isteri. Begitu juga kalau nak ke hospital untuk rawatan berkala itu, saya akan bergerak dan pandu kereta sendiri,” katanya.

Paling memilukan apabila dia kini sudah memegang status Orang Kurang Upaya (OKU) namun bertegas malu untuk menerima bantuan daripada pusat zakat ataupun badan kebajikan lain meskipun layak menerimanya.

Tegasnya, masih ramai yang memerlukan bantuan termasuklah golongan asnaf dan orang kelainan upaya berbanding dirinya itu.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor ada memaklumkan kepada saya dan mahu membantu. Tetapi buat masa ini, saya tak mahu ambil lagi bantuan daripada kedua-duanya sebab masih mahu mencuba.

“Saya segan nak ambil duit yang tentunya ada asnaf lain lebih memerlukan. Saya ada luahkan perkara ini pada pegawai yang bertugas. Tetapi mereka ada kata, saya ini layak terima.

“Katanya, zakat bukan hanya kepada fakir miskin sahaja, ada banyak kategori. Dia beritahu supaya saya jangan risau, tetapi tak mengapalah. Jika saya sudah bersedia atau tiada langsung cara lain untuk hidup, mungkin saya akan hubungi mereka,” katanya.

Jelasnya, dia bersyukur dengan kehadiran Ashira yang banyak membantu dirinya menguruskan kehidupannya sehari-hari.

Namun kebanyakan kerja rumah masih dilakukan sendiri olehnya kecuali memasak memandangkan dia sudah tidak boleh berdiri lama seperti dahulu.

“Selagi boleh, memang saya akan buat sendiri sebab tak mahu ajar diri selalu mengharapkan orang. Bayangkan kalau orang itu ada kerja lain, atau tiada, macam mana?

“Tak akan nak duduk diam saja tak buat apa-apa, tak boleh urus diri? Selagi boleh buat, saya akan buat. Tak mengapa. Saya kena juga kuatkan semangat,” katanya.

Untuk rekod, Bad dan Ashira bernikah pada 11 Mac 2020 selepas mereka menyertai Gegar Vaganza 7. Kedua-dua mereka sudah mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here