Cukuplah Najib, sampai bila mahu ‘burukkan’ Muhyiddin…carilah modal lain

0
545

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

KOMEN terbaru Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Bersatu sedang menyusun propaganda untuk menumbangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan mengembalikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kedudukan itu menimbulkan persoalan.

Beliau menyebut, ‘’page-page propaganda PPBM-PN utama seperti page Otai pun telah memulakan serangan bertubi-tubi ke atas PM Ismail Sabri.’’

Kadang kala kasihan penulis melihat Najib yang nampak semakin ‘tidak keruan’ dan tidak habis-habis menyerang Muhyiddin, walaupun Ahli Parlimen Pagoh itu amat jarang sekali menyebut nama Ahli Parlimen Pekan tersebut.

Tetapi penulis tertanya-tanya apakah motif Najib menggunakan perkataan, ‘’ Paling membimbangkan ialah menteri-menteri dalam kerajaan Ismail Sabri merupakan menteri utama yang mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan,perladangan yang mempengaruhi harga barang khususnya harga makanan juga adalah daripada parti yang mahu tumbangkan Ismail.

‘’Diorang (Mereka) serang Ismail berkenaan harga barang naik tapi korang (mereka) juga yang bertanggungjawab atas dasar yang disebabkan harga barang naik.’’

Kalau begitu hujah Najib, macam mana pula ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, siapakah menteri yang menguruskan Covid-19? Bukankah ketika itu Ismail Sabri adalah Menteri Kanan Pertahanan, bukankah Dr.Adham Baba (Menteri Kesihatan), bukankah Khairy Jamaluddin (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi) dan bukankah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar).

Bukankah kesemua mereka daripada UMNO berada di ‘barisan hadapan’ bersama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bagi menguruskan negara yang sedang ‘diserang’ pandemik Covid-19? Adakah kita boleh meragui kesungguhan mereka? Adakah kita boleh mewujudkan persepsi ‘korang juga bertanggungjawab’…tentukan segala tindakan kerajaan bagi menangani pandemik tersebut yang dicanang oleh Najib sebagai ‘kerajaan gagal’?

Bagaimana perasaan Najib dan UMNO, kalau wujud tafsiran seumpama itu seperti mana ‘hujah jahil’ Najib dalam membangkit soal parti mana menteri yang bertanggungjawab menjaga harga makanan dan barang-barang?

Tetapi kita semua tahu menteri-menteri tersebut sama ada daripada UMNO mahupun Bersatu melakukan kerja mereka dengan jujur dan ikhlas, tetapi malangnya mereka diganggu dan terganggu oleh pemimpin seperti Najib yang merasakan hanya beliau sahaja bijak menguruskan negara, beliau sahaja prihatin rakyat dan beliau sahaja pandai bab ekonomi.

Namun jangan lupa di bawah kepemimpinan beliau juga, Barisan Nasional (BN) hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah dan di bawah pentadbiran beliau juga tercetus skandal 1MDB yang ‘menggegarkan dunia’ hingga ia akan difilemkan.

Najib seharusnya tidak terlalu teruja mahu terus ‘menyerang’ atau memburuk-burukkan Muhyiddin dan Bersatu, kalaulah apa yang ditulis dalam media sosial mahu dijadikan ‘senjata’ untuk membuat dakwaan, rasanya perkara yang sama boleh dilakukan ke atas beliau.

Tetapi itu bukanlah politik yang bijak, sebaliknya hanya menampakkan seseorang itu semakin ‘muflis modal politik’ dalam usaha  melemahkan ‘musuh politiknya’.

Dalam bab kenaikan harga barang ini, Najib sepatutnya boleh mendapat pandangan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang  berhujah jauh lebih objektif dan bijak berbanding Najib yang dilihat lebih bermotif politik!

Seperkara lagi, apa salahnya dengan kenyataan Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu Malaysia, Dr.Ariff Bahardin bahawa Bersatu akan berusaha untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekali lagi?

Kalaulah dalam UMNO pun sudah ada bunyi-bunyi mahu ‘bossku’ kembali menjadi Perdana Menteri, pelikkah kalau penyokong Bersatupun mempunyai impian yang sama untuk Muhyiddin?

Lagipun Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional berbeza dengan Najib hanya sekadar Penasihat BN dan tiada apa-apa jawatan dalam kepemimpinan UMNO…sepatutnya itu lagi nampak pelik.

Atau adakah Najib melihat peluang Muhyiddin jauh lebih cerah daripada beliau untuk membuat ‘come back’? Kalau tidak ada perasaan itu, carilah modal lain untuk terus diingati, bukannya siang malam dok ‘meratib’ nama Muhyiddin.

Penulis adalah penganalisis politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here