Bekas COO didakwa pecah amanah wang syarikat RM1.28 juta

0
640

SEORANG bekas Ketua Pegawai Operasi (COO), sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang hari ini atas 38 tuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat bernilai lebih RM1.28 juta.

Tertuduh, Ng Siew Eng, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang didakwa dilakukan empat tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, tertuduh yang diamanahkan dalam urusan kewangan didakwa menyalahgunakan wang syarikat untuk kepentingan diri sendiri.

Tertuduh didakwa mengeluarkan 38 keping cek bernilai antara RM3,730 hingga RM110,036 atas nama diri sendiri, suami dan dua anak selain digunakan untuk membayar hutang kad kredit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga Oktober 2018 di pejabat syarikat di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang. .

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda. Pendakwaan dijalankan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM38,000 dengan dua syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan hingga kes selesai. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here