Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain cabar nasihat darurat Muhyiddin gagal

0
426

AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat lain gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menggantung Parlimen semasa darurat.

Memetik laporan Malaysiakini, dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Has Zanah Mehat menolak rayuan oleh Anwar dan empat wakil rakyat lain.

Wakil rakyat lain ialah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (MP Pulai), Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Has memutuskan bahawa mahkamah sebelum ini tidak tersilap dalam keputusan menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh lima wakil rakyat pembangkang itu.

Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan isu pengisytiharan darurat oleh Agong.

Panel itu, yang turut diketuai oleh Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim, sebelum ini telah mendengar hujahan daripada peguam wakil rakyat berkenaan dan peguam kanan Persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung rayuan untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keabsahan nasihat Muhyiddin kepada Agong.

Sebelum ini, Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz, telah memfailkan tiga cabaran undang-undang berasingan tetapi serupa terhadap nasihat Muhyiddin untuk penggantungan Parlimen semasa darurat.

Tiga tindakan undang-undang itu menyasarkan kesahihan keputusan kabinet pimpinan Muhyiddin ketika itu, untuk menasihatkan Seri Paduka supaya mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Bagaimanapun, tiga bangku Mahkamah Tinggi yang berasingan memberikan keputusan yang tidak berpihak terhadap tindakan undang-undang oleh Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz.

Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan daripada AGC bahawa Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here