PRN Sarawak: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 18 Disember ini .

Sasaran itu diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi tadi.

Berikutan itu, katanya SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ bagi menggalakkan pengundi supaya lebih ramai yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi.

“Ia termasuk melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” katanya.

Terdahulu, SPR menetapkan 6 Disember sebagai hari penamaan calon dan 18 Disember depan sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Ghani berkata, Garis Panduan Pencegahan COVID-19 bagi tujuan PRN Sarawak Ke-12 sedang dikemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ), Majlis Keselamatan Negara ( MKN ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS).

Keputusan mengenai garis panduan itu, akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan kelak. Setakat ini, belum ada sebarang maklumat adakah SPR akan menggunakan peraturan sama ketika PRN Melaka, minggu lalu.

Ia termasuklah larangan kempen rumah ke rumah, ceramah terbuka dan hanya membenarkan kempen secara maya melalui media sosial yang bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam masa yang sama, Abdu Ghani berkata SPR akan meneruskan penambahbaikan pada PRN Sarawak ke-12.

Ia termasuk menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi.

“Selain itu, memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1. Seramai 13,871 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” tambah beliau.

Selain itu, katanya syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori Luar Negara seperti yang dilaksanakan sebelum ini turut dimansuhkan.

Syarat-syarat tersebut adalah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

“Selain itu, pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa,” katanya – SB