KPDNHEP patah cubaan seleweng 32,000 liter diesel bersudsidi untuk nelayan

0
343

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan menggagalkan cubaan menyeleweng 32,000 liter minyak diesel bersubsidi untuk nelayan bernilai RM52,000 di sebuah jeti Kampung Batu Putih, Sandakan, Isnin lepas.

Ketua Cawangan itu Mohamad Hashim berkata selain minyak bersubsidi berkenaan, turut dirampas dua lori tangki, hos minyak 30 meter, hos minyak tiga meter, sebuah enjin pam dan sebuah meter pam dengan nilai rampasan keseluruhan RM202,800.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun mengaku sebagai pemilik premis serta dua lagi lelaki tempatan masing-masing berumur 23 dan 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori tangki itu ditahan bagi membantu siasatan.

“KPDNHEP bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Perairan Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu jeti itu setelah risikan seminggu, dan telah melihat aktiviti memindahkan minyak diesel bersubsidi nelayan dari stor penyimpanan ‘skid tank’ nelayan ke dalam dua lori tangki.

“Pemandu lori terbabit memberitahu pasukan serbuan bahawa minyak diesel tersebut akan dibawa dan dijual terus ke sektor perladangan sekitar pantai timur Sabah,” katanya pada sidang media mengenai kes itu di sini hari ini.

Menurutnya siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan syak melakukan kesalahan iaitu memindahkan minyak diesel dari tempat penyimpanan ke lori tangki terbabit.

Mohamad berkata KPDNHEP Cawangan Sandakan akan menjalankan siasatan dan audit ke atas semua operator jeti minyak diesel bersubsidi nelayan, termasuk sektor perladangan yang membeli minyak diesel yang dikhususkan untuk golongan nelayan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here