Dua ‘marshal’ ditahan, empat lagi masih dikesan

0
352

POLIS menahan dua lelaki yang terbabit video tular aksi ‘marshal’ motosikal berkuasa tinggi yang membuat kawalan dan memberhentikan kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu masih bujang dan masing-masing bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.

Beliau berkata, kedua-duanya itu ditahan pada jam 12.30 tengah malam dan 2.45 pagi tadi di rumah mereka di kawasan Port Dickson dan Springhill Lukut.

“Turut disita dua buah motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian dan kasut yang digunakan dan semasa rakaman di buat.

“Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Polis kesan ‘marshal’ konvoi motor

Beliau berkata, polis juga dalam usaha mengesan empat lagi individu yang bertindak sebagai ‘marshal’ dalam kes itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Polis juga berharap agar mereka yang bertindak sebagai ‘marshal’ motosikal berkuasa tinggi itu menyerah diri bagi memudahkan siasatan lanjut,” katanya.

Aidi Sham berkata, rakaman video berdurasi 70 saat yang dikongsi menerusi laman sosial itu menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong pada 20 November lalu.

Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan mereka dipercayai bertujuan memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat.

Katanya, konvoi motosikal berkuasa besar itu bergerak dari Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here