CAP gesa kerajaan atasi segera ancaman, pencerobohan bot pukat tunda

0
343

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di Pulau Betong, Balik Pulau.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, aktiviti yang menjejaskan kira-kira 200 nelayan pantai di kawasan itu sudah lama berlaku, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan.

Menurut beliau, ancaman oleh bot-bot pukat tunda yang berpengkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang menyebabkan sumber pendapatan nelayan pantai di kawasan berkenaan terjejas teruk.

Selain itu katanya, kawasan pantai terbabit turut terkesan dengan aktiviti nelayan dari Pulau Pangkor, Perak yang menggunakan lampu (spot light) berkuasa tinggi yang memberi kesan buruk ke atas hidupan laut.

Ujar beliau, tinjauan CAP dalam kalangan nelayan pantai yang terlibat mendapati masalah itu menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot mencecah 50 peratus setiap kali turun ke laut.

“Mereka mendakwa bot pukat tunda dan nelayan dari Pulau Pangkor, Perak kerap menjalankan aktiviti pada waktu malam.

“Banyak benih atau anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi mati dan musnah dan antara anak ikan yang menjadi mangsa ialah ikan kembung, bawal hitam, jenahak, tenggiri dan juga anak sotong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohideen, CAP kesal dan bimbang dengan kejadian itu kerana gagal ditangani oleh pihak berkuasa berkenaan walaupun telah banyak aduan dibuat oleh nelayan terbabit sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyiasat mengapa masalah itu terus berlanjutan sehingga kini.

Tegasnya, masalah itu jika dibiarkan bukan sahaja menyebabkan kehidupan nelayan pantai di situ terjejas dengan lebih teruk, malah sumber perikanan negara mungkin mengalami kepupusan pada masa akan datang.

“Ini kerana sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih) di samping mencemarkan laut dan memusnahkan tempat pembiakan ikan,” katanya.

Tambahnya, CAP berharap Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan berkesan dan menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda dan lampu berkuasa tinggi (spot light) di negara ini dengan segera dalam menyelamatkan sumber bekalan makanan dan masa depan sektor perikanan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here