Warga emas maut selepas lihat bumbung rumah dibaiki

0
374

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

HASRAT seorang warga emas mahu melihat bumbung rumahnya di Felda Pasak, Kota Tinggi, hari ini yang siap dibaiki tidak kesampaian apabila ditemukan meninggal dunia di atas bumbung.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Rafi Mohd. Nor, kejadian itu disedari jiran mangsa yang kebetulan berada di kawasan tersebut.

Berikutan itu katanya, kejadian tersebut dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 3.44 petang.

“Seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Kejadian disedari jiran mangsa yang kebetulan berada di kawasan tersebut.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati mangsa, Yam Ramin yang berusia 80 tahun telah pengsan di atas bumbung ketika ingin melihat keadaan bumbung rumahnya selepas dibaiki.

“Bomba bertindak menurunkan mangsa menggunakan sistem tali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau menambah, operasi tersebut tamat pada pukul 5.25 petang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here