Peniaga ayam didakwa cabul pelajar Tingkatan Empat

0
300

SEORANG lelaki yang bekerja sebagai peniaga ayam ditahan polis kerana melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki awal pagi hari ini.

Suspek, 32, ditahan di rumahnya pada jam 1 pagi selepas mangsa yang juga pelajar Tingkatan Empat di Tawang, Bachok membuat laporan polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek didakwa membuat kelakuan tidak senonoh kepada mangsa yang berusia 16 tahun pada 26 Jun lalu di dalam kereta di depan sebuah kedai makan.

“Mangsa yang dihantar pulang kemudian menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibu mangsa namun tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan kes.

“Bagaimanapun, semalam mereka tampil membuat laporan polis selepas suspek dipercayai masih mengganggu mangsa dan mengugut keluarga mangsa untuk membuat saman malu kerana menafikan tuduhan dia mencabul mangsa sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, mangsa dipercayai mengenali suspek sejak 2019 dan suspek yang masih bujang menjadikan mangsa sebagai anak angkat.

“Sejak November tahun lalu, suspek mengatakan hasrat untuk menjadikan mangsa anak angkat dan mengajak mangsa berniaga dengannya,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 27 November ini oleh Mahkamah Majistret Bachok, hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here