Nahas pesawat TUDM: Mejar Mohd. Fareez telah sedar, stabil

0
221

ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108, Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, telah sedar serta berada dalam keadaan yang stabil.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Mohd. Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 7 malam, Rabu lalu di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Bagaimanapun katanya, beliau kini berada dalam pemantauan pegawai perubatan di hospital itu dan memerlukan rawatan susulan.

Dalam pada itu tambahnya, TUDM akan memastikan segala urusan rawatan perubatan Mohd. Fareez diuruskan dengan sebaik-baiknya.

“Ini termasuk urusan kebajikan isterinya, Siti Hajar Abdullah serta dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan yang akan dikoordinasikan oleh Pangkalan Udara Butterworth di sini,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, satu Lembaga Siasatan juga telah ditubuhkan untuk menyiasat nahas itu secara lebih terperinci.

Sehubungan itu tegasnya, TUDM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kebenarannya selain turut sama mendoakan kesembuhan Mohd. Fareez.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam Selasa lalu itu, pesawat Hawk 108 yang sedang dalam latihan penerbangan malam terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth sebelum meletup.

Bagaimanapun, dua juruterbangnya sempat keluar menggunakan kerusi anjal namun salah seorang daripada mereka iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, terbunuh manakala Mohd. Fareez mengalami kecederaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here