[VIDEO] Rakyat menangis tengok saya – Norhizam

0
472

RAKYAT menangis tengok saya dakwa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Kerajaan Melaka tumbang, empat ADUN tarik sokongan kepada KM

Beliau yang merupakan salah seorang daripada empat ADUN yang menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Melaka berkenaan berkata itulah reaksi yang dia terima setiap kali turun padang ke kawasannya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menghantar borang pencalonan sebagai calon bebas untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Penamaan Calon di Dewan Mini Stadium Bistari, Jalan Ayer Keroh di Melaka pada Isnin.

Norhizam yang dilihat menunjukkan keyakinan amat tinggi dapat mempertahankan kerusinya itu juga mendakwa, pengundi di kawasan Pengkalan Batu sangat kenal dirinya yang sebelum ini sering turun padang untuk membantu rakyat.

“Jangan bimbanglah, saya yakin boleh menang di kawasan saya ini.

“Saya ini pemimpin yang turun padang bertemu rakyat, bukan macam sesetengah pemimpin yang hanya pandai memandu kereta ke sana ke mari sahaja, tapi tak buat apa-apa,” katanya kepada media.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu berada dalam keadaan tidak yang selesa untuk mempertahankan kedudukannya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Ini kerana, selain berdepan dengan soal kesetiaan pengundi yang pernah memenangkannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), “YB Viral” itu dicabar empat calon daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pakatan Harapan (PH) dan Putra.

BN meletakkan calon veteran, Datuk Kalsom Noordin yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bukit Katil manakala, DAP mempertaruhkan calon muda, Muhamad Danish Zainudin, 25, sebagai pencabar kepada Norhizam yang sebelum ini bertanding atas tiket PH.

Walaupun peratus komposisi pengundi Melayu dianggarkan mencapai 60 peratus di DUN Pengkalan Batu, tetapi baki 40 peratus lagi merupakan kaum lain yang bakal menentukan nasib bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka itu kelak.

PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here