[VIDEO] Tiga penjuru: Peluang PN tetap ada – Rafiq

0
514

PELUANG Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tetap ada meskipun kesemua pertandingan kali ini melibatkan lebih tiga penjuru.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, keyakinan itu berdasarkan sentimen rakyat Melaka pada masa kini yang mahukan perubahan.

Selain itu kepimpinan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengetuai pentadbiran negara yang begitu prihatin kepada rakyat bakal mempengaruhi keputusan pengundi untuk memihak kepada PN.

“Dalam aktiviti saya dan rakan-rakan yang turut bertemu akar umbi sebelum ini pun, sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, rata-rata rakyat mahukan PN.

“Mereka juga melihat kepimpinan Muhyiddin yang cukup cemerlang, prihatin kepada rakyat Malaysia termasuk rakyat Melaka yang rata-rata mendapat manfaat dan nikmat daripada kepimpinan Muhyiddin menerajui kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan borang pencalonan PRN Melaka hari ini.

Rafiq yang juga calon PN bagi kerusi DUN Telok Mas berkata, jaminan Muhyiddin untuk memberi tumpuan khusus kepada kerajaan yang bakal terbentuk nanti, memberi keyakinan kepada sentimen akar umbi.

“Siapa sahaja yang dipilih nanti menjadi Ketua Menteri merupakan seseorang yang akan menerima nasihat, tunjuk ajar dan panduan daripada kepimpinan yang dihormati rakyat seluruh negara,” katanya.

Mengenai pertembungan empat penjuru di DUN Telok Mas, Rafiq berkata, ia merupakan satu persaingan sihat.

“Saya melihat ini proses demokasi. Kita meraikan selain daripada tiga calon yang mewakili gabungan parti, kita ada satu calon bebas,” katanya.

Pada PRN Melaka 20 November nanti, Rafiq bakal menerima tentangan daripada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat; Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas) dan
Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN).

Pada PRN 2018, calon PH, Datuk Noor Effandi Ahmad menang dengan majoriti 1,288.

Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada PRN Melaka kali ini sebanyak 11 DUN membabitkan pertandingan tiga penjuru, empat penjuru (sembilan DUN), lima penjuru (lima DUN) dan enam penjuru (tiga DUN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here