[VIDEO] 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka

0
268

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menerima 112 calon daripada pelbagai parti politik dan individu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selepas 28 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri itu ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sejumlah 90 calon adalah daripada lima parti politik dan 22 calon Bebas layak bertanding pada PRN Melaka, manakala tiada calon ditolak.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 28 calon diterima masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan seorang calon mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Beliau juga memaklumkan pertembungan enam penjuru direkodkan di tiga kerusi DUN, manakala pertandingan lima penjuru pula di lima kerusi DUN.

“Pertandingan tiga penjuru pula akan membabitkan 11 kerusi DUN, manakala empat penjuru direkodkan di sembilan kerusi DUN,” katanya pada sidang media di Ayer Keroh, Melaka, hari ini

Dalam pada itu, Abdul Ghani menasihatkan supaya semua orang termasuk pengundi harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan PRN Melaka berjalan dengan lancar.

Menurut beliau, SOP pencegahan Covid-19 itu berdasarkan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Secara dasarnya, semua calon tidak dibenarkan mengadakan aktiviti berhimpun, walkabout atau berjalan dari rumah ke rumah.

“Kita beri ruang calon bertanding mengedar pamplet, cuma tak boleh secara bersemuka. Kita juga benarkan mereka guna van atau lori bergerak untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain, namun perlu mendapat kebenaran polis.

“Aktiviti kempen lain yang dibenarkan adalah melalui media massa, sama ada melalui media arus perdana, televisyen dan media sosial.

“SOP terperinci boleh diperoleh menerusi portal SPR di laman sesawang spr.gov.my,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here