Mahu bertanding PRU-15, apa lagi Dr Mahathir mahu?

0
283

Oleh HUSSAINI AMRAN

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan beliau akan bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu menyatakan demikian dalam wawancara yang disiarkan oleh VICE News melalui YouTube baru-baru ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu memberi alasan, ramai penyokong dan pengikutnya mahu beliau bertanding.

Sememangnya, Dr Mahathir sudah terlalu lama bergelumang dalam kancah politik tanah air dan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional (BN) serta 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Setelah rejim PH tumbang, banyak pihak menjangka beliau akan berundur dari arena politik pada PRU-15 dan memanfaatkan usia yang berbaki dengan memperbanyakkan amal ibadah.

Baca berita berkaitan: Biarlah Dr.Mahathir dengan ‘politik labu-labunya’

Namun, jangkaan itu nampaknya meleset kerana Dr Mahathir masih ada hati untuk bergiat aktif dalam politik pilihan raya walaupun umurnya kini sudah mencecah 96 tahun.

Tidak dinafikan pada usia yang semakin menghampiri 100 tahun, beliau masih mempunyai daya pemikiran yang tajam.

Cuma, pendekatan yang digunakannya dalam berpolitik sudah tidak sesuai lagi dengan situasi semasa yang lebih dinamik dan terbuka berbanding ketika zaman beliau menjadi Perdana Menteri keempat dahulu.

Jelas terbukti Dr Mahathir gagal mengawal DAP yang lagaknya seperti beraja di mata, bersultan di hati semasa beliau menjadi Pengerusi PH dahulu.

Bukan lagi rahsia bahawa sekumpulan pemimpin PH bersikap biadab mendesak Dr Mahathir meletak jawatan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri.

Ekoran tekanan yang sangat hebat daripada kem pro-Anwar dalam PH, Dr Mahathir membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan sehingga menyebabkan negara dalam keadaan tidak menentu ketika dilanda krisis COVID-19.

Entah apa yang difikirkan oleh Dr Mahathir ketika itu sehingga nasib rakyat yang terjejas akibat krisis COVID-19 seolah-olah tidak diberi keutamaan yang sewajarnya.

Kita juga masih ingat lagi apa reaksi beliau ketika ditanya berhubung kemasukan pelancong dari China yang dikhuatiri boleh menyebabkan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

“Kadang-kadang kita menerima dua juta pelancong China, bagaimana hendak kuarantin semua? Hendak letak di mana? Takkan nak buh (letak) kat kandang lembu?” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette pada 26 Januari 2020.

Kita pun tidak tahu apa lagi yang Dr Mahathir mahu apabila berhasrat untuk terus aktif berpolitik walaupun beliau sepatutnya sudah bersara.

Anaknya yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz juga sepatutnya sudah mampu bergerak sendiri menentukan hala tuju politiknya.

Lagipun, selagi Dr Mahathir tidak bersara, Mukhriz terpaksa menerima hakikat bahawa kerjaya politiknya dibayangi oleh pengaruh bapanya.

Demi kelangsungan politik Mukhriz, lebih baik Dr Mahathir melupakan hasrat untuk bertanding lagi dalam PRU-15 walaupun didesak berbuat demikian oleh konco-konconya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here