Warga emas rugi RM74,800 akibat Love Scam

0
236

Oleh RIZQI ZABIDI

Tidak hanya perasaannya dipermainkan, seorang wanita warga emas malah terpaksa menanggung kerugian mencecah RM74,800 setelah terperdaya dengan cinta palsu seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritenden Elias Omar, warga emas tersebut yang merupakan seorang penoreh getah mula berkenalan dengan lelaki itu yang menggunakan nama Ibrahim Aziz di Facebook sejak Julai lalu.

Katanya, lelaki tersebut mendakwa dirinya merupakan seorang doktor dan tinggal di Ireland.

“Mulanya mereka cuma berhubung di Facebook sebelum beralih ke Whatsapp. Selepas kerap berhubung, lelaki tersebut meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan wang dengan alasan untuk mengaktifkan akaun.

“Suspek juga mendakwa telah mengirim barang kepada mangsa sebagai tanda perkenalan. Selepas itu, mangsa kemudiannya dihubungi pula oleh wakil syarikat kurier yang memaklumkan ada barangan dikirim kepadanya” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, wakil syarikat kurier terbabit memaklumkan mangsa perlu membayar cukai dan denda supaya barang tersebut dapat dilepaskan.

“Disebabkan terlalu percaya, mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat melalui mesin deposit tunai ke tiga akaun bank berbeza bermula September hingga Oktober lalu.

“Terdapat 25 transaksi dilakukan dengan nilai keseluruhannya mencecah RM74,800. Kesemua wang tersebut adalah hasil simpannya sendiri,” katanya.

Elias menambah, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah dia terus diminta membuat pembayaran selepas itu.

“Susulan itu satu laporan polis dibuat di Baling semalam. Polis membuka kerat siasatan di mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here