PRN Melaka: UMNO mahu teruskan kerjasama, namun ingatkan PAS guna lambang parti sendiri

0
434

WALAUPUN memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS, namun UMNO masih belum menetapkan tindakan jika PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Untuk rekod PAS sehingga kini belum membuat keputusan berkaitan lambang yang akan digunakan pada PRN Melaka dan perkara itu akan diputuskan Majlis Syura parti berkenaan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jika keadaan itu berlaku, perkara tersebut akan dimuktamadkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

“Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga memberikan mandat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri (Naib Presiden) untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka,” katanya kepada media selepas mesyuarat MT UMNO malam tadi.

Beliau berkata, selain itu mesyuarat malam tadi memutuskan Mohamad Hasan dilantik sebagai Pengarah PRN Melaka.

Pendirian tersebut dilihat bertentangan dengan pengumuman Ahmad Zahid sebelum ini yang mahu Najib mengetuai kempen PRN Melaka.

Zahid sebelum ini mengumumkan Najib akan menggantikannya untuk mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) di Melaka sepanjang ketiadaannya yang akan ke Jerman bagi menjalani rawatan sakit belakang.

Mengulas lanjut keputusan meneruskan persefahaman dengan PAS, Ahmad Maslan berkata, ia selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa parti itu menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam Mesyuarat pada 18 November 2020 dan 19 Oktober 2020 untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri seraya mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan BERSATU, Ahmad enggan membuat sebarang kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here