Kerusi Paya Rumput, Asahan jadi rebutan komponen PH’

0
330

PARTI-PARTI komponen Pakatan Harapan (PH) negeri Melaka dilaporkan masih tidak mencapai kata sepakat dalam rundingan pembahagian kerusi khususnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Asahan yang kini menjadi rebutan antara PKR dan parti lain, kata satu sumber parti PKR.

Menurut sumber itu, PKR dan DAP masih merebut kerusi Paya Rumput sementara to ketiga-tiga parti, termasuk Amanah dikatakan berminat bertanding di DUN Asahan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

“Masih dalam rundingan dan setakat semalam masih belum dapat kata putus.

“Yang hangat dan sukar dapat penyelesaian DUN Paya Rumput. PKR inginkan kerusi tersebut sebab memang sebelum ini kerusi PKR sebelum diserah kepada Bersatu. Tetapi, kerusi ini ingin direbut oleh DAP.

Kerusi yang jadi rebutan tiga parti ialah Asahan. DAP, PKR dan Amanah mahukan kerusi tersebut,” kata sumber itu, memetik laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, kerusi Paya Rumput ditandingi PKR sejak 2008 sebelum diserahkan kepada Bersatu pada 2018.

Wakil Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen menang kerusi tersebut dengan mengalahkan calon Umno dan PAS pada PRU14.

Manakala, secara tradisinya PAS yang mewakili pembangkang menentang BN di DUN Asahan sebelum PH menyerahkan kerusi tersebut kepada Bersatu susulan keputusan PAS untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, sumber sama turut mengesahkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara komponen PH bagi PRN Melaka telah selesai 90 peratus.

“Betul 90 peratus sudah selesai ia kebanyakkan kerusi penyandang sebelum ini. 

“Macam kerusi PKR DUN Rembia, DUN Machap Jaya dan yang lain-lain. Sama juga DAP lapan kerusi yang telah disandang sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, pengerusi PH Melaka Adly Zahari memberitahu Bernama bahawa pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan dalam minggu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Pada PRU14, 2018, sejumlah 28 kerusi DUN di Melaka dibahagikan antara empat parti komponen PH pada masa itu, iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

PKR dan DAP bertanding di lapan kerusi, manakala Amanah dan Bersatu di enam kerusi. DAP merupakan pemenang terbesar apabila menang di semua kerusi yang ditandinginya, manakala PKR menang tiga kerusi. Bersatu dan Amanah pula masing-masing menang dua kerusi.

Namun dengan Bersatu kini merupakan seteru PH, enam kerusi yang ditandingi parti itu akan dibahagikan antara tiga parti berkenaan.

Selain Asahan dan paya Rumput, empat kerusi lain adalah Ayer Limau, Lendu, Telok Mas dan Sungai Rambai. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here