PBB sudah siap senarai calon PRN Sarawak

0
587

WALAUPUN belum ada sebarang tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN), namun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah pun bersiap sedia dengan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan PRN Sarawak ke-12.

Senarai calon itu disediakan Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menegaskan beliau tidak tahu mengenai senarai calon untuk parti komponen lain di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Bagi PBB, memang Ketua Menteri sudah ada nama. Bagi komponen lain, mungkin belum dimuktamatkan, saya tidak tahu,” katanya ketika Dialog Bersama-sama Media di sebuah hotel di Kuching, semalam.

Katanya, GPS sudah bersedia sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan dalam masa terdekat kerana gabungan tersebut sudah bersedia menghadapi PRN sejak 2019.

“Sekiranya ditanya GPS bersedia atau tidak, memang GPS bersedia sejak tahun lepas pun. Kita pada 2019 kita dah menganggap pilihan raya akan diadakan pada 2020 tetapi disebabkan penularan COVID-19, kita tidak dapat mengadakan pilihan raya.

“Jadi bilik gerakan untuk PRN sudah kita gerakkan, saya sebagai Setiauasaha Agung GPS juga sebagai Setiausaha Agung PBB telah diarahkan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada tahun 2019 untuk menggerakkannya,’’ katanya.

Rabu lalu, tersebar khabar angin mengatakan DUN Sarawak akan dibubarkan hari ini, tetapi dinafikan Abang Johari semalam.

Ini berikutan laporan sebelum ini bahawa beliau sudah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riyatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ia dikatakan turut membincangkan soal pembubaran DUN. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here