Anggota polis maut bertembung kereta ubah laluan

0
533

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG anggota polis meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan di KM 20.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) di Kulai, hari ini.

Nahas membabitkan Lans Koperal Mohd Sofian Mohd Saad, berusia 35 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerusi anggota trafik yang bertugas di kawasan itu menerima laporan berhubung kejadian itu 15 minit kemudian.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha R25 gagal mengelak kereta jenis Produa Alza di hadapannya.

“Kereta itu dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan pemanduan ke lorong kiri setelah memotong kenderaan yang lain.

“Mangsa yang bertugas di cawangan komandan IPD Johor Bahru Utara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beng Yeow berkata, semasa kejadian tersebut mangsa sedang bertugas.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai untuk proses bedah siasat.

“Dalam kemalangan ini, pemandu kereta Produa Alza itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua kenderaan turut dibawa ke Puspakom Senai untuk diperiksa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here