Jumlah eksport pertanian ke Singapura meningkat dalam tempoh Covid-19

0
308

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PANDEMIK Covid-19 tidak menjejaskan jumlah eksport produk pertanian ke Singapura yang menunjukkan peningkatan 44 peratus antara Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.48 billion.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata,
dalam tempoh itu 308,000 transaksi direkodkan ke negara republik itu melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Katanya, jumlah transaksi eskport berkenaan dianggarkan akan terus meningkat sehingga hujung tahun 2021.

“MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan terus meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

“Ini bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal,” katanya selepas melawat BSI, hari ini.

Ronald diberi taklimat semasa melawat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru hari ini

Menurutnya, Maqis merekodkan jumlah kes penahanan melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasil agromakanan tanpa permit sebanyak 37 kes sehingga 30 September 2021 dengan nilai anggaran tahanan RM1.35 juta.

Beliau berkata, jumlah itu kurang satu kes berbanding 38 kes pada tahun 2020 dengan nilai tahanan RM1.2 juta.

“MAQIS akan sentiasa mempertingkat kecekapan perkhidmatan bagi memudahcara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Tambah beliau, sehubungan itu MAQIS telah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan dengan memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) serta melaksana kawalan kemasukan hasil pertanian bagi tujuan transit dan ‘transshipment’.

Sementara itu, MAFI kini sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) untuk meluaskan kuasa Maqis di luar pusat kuarantin, stesen kuarantin serta premis kuarantin melibatkan proses membuat serbuan, siasatan dan penahanan diluar pintu masuk negara.

Pindaan berkenaan juga akan memperkukuh bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti melibatkan semua komoditi pertanian berhubungan dengan aktiviti import dan eksport, pemindahan antara wilayah, transit dan ‘transshipment’.

Tambahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu tidak mempunyai impak secara langsung terhadap pengeksportan produk pertanian di CIQ Bangunan BSI.

“Data menunjukkan transaksi eksport ke Singapura dari pintu masuk ini menunjukkan jumlah transaksi meningkat daripada 56,610 pada tahun 2019 kepada 125,151 pada tahun 2020,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here