Rampasan RM1.33 juta dadah pada longgokan tiang kayu

0
272

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENINGGALKAN bungkusan dadah di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga.

Itu taktik baharu digunakan sindiket dadah bertujuan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksmana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, taktik tersebut bagaimanapun berjaya dikesan apabila 23 kilogram dadah bernilai hampir RM1.33 juta ditemui di perairan Muar, semalam.

Beliau berkata, bekalan dadah tersebut dikesan ketika pihaknya mengadakan rondaan di perairan berkenaan pada pukul 5.30 pagi itu,

“Semasa rondaan rutin dijalankan, pihak maritim mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam diletakkan di atas kayu perangkap ikan atau togok.

“Objek berkenaan ditemui pada jarak kira-kira 3 batu nautika barat daya Parit Jawa dan 12 batu nautika dari sempadan perairan negara. Mengesyaki objek tersebut adalah berkaitan dengan maklumat risikan, anggota bot merapat ke togok untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar media di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan kemudiannya menemui 23 bungkusan teh cina berwarna hijau dipercayai syabu, pil ekstasi dan pil Eramin 5.

“Tinjauan di kawasan sekitar, pihak maritim tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain. Kami percaya, dadah berkenaan sengaja ditinggalkan di atas togok sebelum diambil oleh pihak seterusnya bagi tujuan penghantaran ke destinasi.

bungkusan dadah di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga

“Taktik ini agak baharu digunakan kerana ini kali kedua kami menemui dadah dengan cara sedemikian,” ujarnya.

Justeru, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan sempadan dan keselamatan di perairan termasuklah rondaan kerap di lokasi-lokasi yang dirasakan menjadi sasaran sindiket.

Nurul Hizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebanyak RM7.9 juta nilai keseluruhan dadah berjaya dirampas APMM bagi tahun ini membabitkan dua lokasi di Johor Bahru dan lima lagi di daerah ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here