[VIDEO] Bukit Melawati simpan sejarah kehebatan Kesultanan Selangor

0
537

BUKIT MELAWATI tersimpan seribu satu kisah sejarah kehebatan Kesultanan Selangor dari abad ke-17, selain keindahannya yang mendamaikan hati.

Dikenali sebagai Bukit Selangor, dahulu ia pernah menjadi kota pemerintahan Sultan Ibrahim (1778-1826).

Mengikut sejarah, Kota Melawati pernah ditakluk Belanda pada 1784 selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka.

Pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Datuk Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Abd Majid Pahang, menyusun strategi menawan kembali Bukit Melawati.

Selain itu, Bukit Melawati juga pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Abdul Samad sebelum berpindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat.

Antara kesan tinggalan sejarah yang masih kukuh sehingga hari ini ialah benteng kubu pertahanan yang dibina ketika Kota Melawati diserang Belanda, Makam Sultan, batu hampar, pusara Panglima Hitam dan perigi beracun.

Makam Diraja Selangor

Makam Diraja Selangor terdiri daripada tiga makam Sultan Selangor iaitu Sultan Selangor Pertama, Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Selangor Kedua, Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Selangor Ketiga, Sultan Mahmud (1826-1857)

Dalam pada itu, terdapat juga batu hampar yang difahamkan menjadi tempat memancung kepala penderhaka.

Batu hampar ini terletak di hujung halaman Istana Sultan, ia terletak di atas kawasan lapang dengan menuruni tiga anaktangga menghala matahari terbit.

Batu Hampar

Ia berupa seketul batu pejal empat persegi berukuran 5 x 5 x 1 kaki padu yang beralas longgokan tanah pasir sebagai kakinya. 

Seterusnya, di puncak Bukit Melawati juga terdapat sebuah perigi beracun yang airnya diisi dengan racun.

Dikatakan hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung, airnya diisi sehingga paras dagu sebagai penyiksaan dan hukum berat kepada penderhaka sultan pada suatu ketika dahulu. 

Perigi Beracun

Bagaimanapun, perigi yang ada sekarang dibina semula pada 1985 selepas perigi asal yang dipercayai terletak di hadapan pokok besar berdekatan tempat letak kereta Muzium Permainan, dikambus pada pertengahan 1977. 

Lebih menakjubkan, masih banyak meriam yang menjadi tinggalan sejarah di Bukit Melawati.

Berdasarkan sejarah, terdapat 102 meriam milik kerajaan Selangor ketika itu, tetapi sebanyak 68 buah dirampas oleh Belanda. 

Kemudian, sebahagian daripada meriam itu sempat dibawa lari oleh Sultan Ibrahim ke Bukit Raja, Permatang.

Atas sebab itu, ketika ini, hanya tinggal beberapa buah meriam di atas Bukit Malawati. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here