Bekas operator radio ditahan ceroboh wad ICU Covid-19 HTF

0
263

SEORANG bekas operator radio pelantar minyak ditahan awal pagi ini kerana menceroboh masuk ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, pada 29 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, suspek, 46, ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada jam 1 pagi tadi di kediamannya di Jalan Ngulang, Mata Ayer.

Menurut Wari, tangkapan itu dibuat selepas mendapat laporan polis dibuat kakitangan hospital berkenaan pada 29 September lalu.

Menurutnya, lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Kangar oleh polis untuk permohonan reman dan beliau turut diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan dan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad.

Permohonan polis menahan reman suspek untuk tujuan siasatan bagaimanapun ditolak Penolong Pegawai Undang-Undang Mahkamah Kangar, Suazira Mohd Surat serta membenarkan permohonan peguam suspek untuk diberi jaminan polis sementara menunggu tarikh pertuduhan di mahkamah.

Difahamkan lelaki itu masuk wad berkenaan tanpa memakai pelitup muka atau sebarang pakaian perlindungan diri (PPE) dengan alasan untuk mencari isterinya yang didakwa bertugas di wad tersebut.

Perbuatan berkenaan juga membawa padah apabila dia disahkan dijangkiti Covid-19 akibat perbuatannya itu.

Sementara itu, Zuhair ketika ditemui berkata, tindakan anak guamnya itu didakwa hanya untuk memastikan keadaan isterinya yang bertugas di hospital itu dan sedang sarat mengandung anak kembar dalam keadaan baik.

Beliau berkata, suspek didakwa memasuki wad ICU Covid-19 HTF sekitar jam 4.30 pagi tanpa sebarang kebenaran daripada pihak hospital.

“Apabila pihak hospital bertanyakan tujuannya memasuki wad berkenaan walaupun sudah dilarang, dia memberitahu ingin bertemu dengan isterinya yang didakwa bertugas di wad berkenaan dengan segera.

“Dengan keadaan tidak memakai pakaian PPE serta pelitup muka, suspek kemudian merayau-rayau dalam wad berkenaan untuk mencari isterinya sebelum ditegur oleh kakitangan wad berkenaan,” katanya.

Zuhair berkata, ketika kejadian terdapat empat pesakit Covid-19 yang positif dirawat dalam wad berkenaan.

“Lelaki berkenaan kemudian keluar melalui ruang lobi ICU 2 dan kejadian berkenaan mempunyai risiko tinggi jangkitan Covid-19 terhadap suspek serta orang yang berada di sekitarnya.

“Malah kejadian itu juga boleh mengakibatkan wad ICU Covid-19 itu terpaksa ditutup atau ‘lockdown’ yang boleh menjejaskan perkhidmatan di hospital berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here