JIPS akan buka kertas siasatan 5 polis terima rasuah

0
403

LIMA anggota polis ditahan termasuk seorang berpangkat Inspektor selepas didakwa di mahkamah di Sabah, semalam, kerana menerima rasuah berkaitan kes dadah yang dilakukan antara tahun 2014 hingga 2018.

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, setiap anggota itu dikatakan menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank mereka dalam tempoh lima tahun itu.

JIPS Sabah tegasnya, akan membuka kertas siasatan berhubung kes itu bagi melihat daripada sudut pelanggaran tatatertib dan salah laku.

“Kebiasaannya pertuduhan di mahkamah akan disusuli dengan tindakan awal untuk tahan kerja,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

Media melaporkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan empat anggota lain-lain pangkat, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, semalam.

Kelima-lima tertuduh yang didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM8,020 mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan terbabit sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Mengulas lanjut, Azri berkata, Bukit Aman turut menyiasat perkara itu kerana anggota terbabit pernah ditahan pada tahun 2018, namun tidak didakwa di mahkamah sehingga baru-baru ini.

“Siasatan kes itu dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagaimanapun, polis memerlukan akses siasatan berkenaan untuk tindakan susulan tatatertib,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here