Pulau Batu Puteh: Khaled jangan tutup kelemahan BN

0
526

PARTI Amanah Negara (Amanah) menggesa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak cuba menutup kelemahan Barisan Nasional (BN) dengan menuding jari kepada Pakatan Harapan (PH) dalam isu Pulau Batu Puteh.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan bekas Menteri Besar Johor itu lebih kepada bermotifkan politik semata-mata kerana mahu menutup kecuaian kerajaan BN yang di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Dzulkefly Ahmad

Ujar Dzulkefly, BN ketika itu bertanggungjawab dalam mengurus serta berunding dengan pelbagai pihak yang mampu mendapatkan hak pulau berkenaan.

“Kelemahan dan kecuaian BN pada masa itu telah menyumbang kepada kegagalan Malaysia dalam mempertahankan hak tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang akhirnya terlepas kepada Singapura.

“Sehubungan itu, Amanah Johor mendesak kerajaan bersikap telus membentangkan kelemahan dan kecuaian dalam mengemukakan bukti diperlukan ketika menuntut hak pulau itu semasa sebutan kes di ICJ pada 2008,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahad lalu, Mohamed Khaled mendakwa kerajaan PH bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad harus bertanggungjawab kerana bertindak menarik balik semakan ke atas penghakiman kes berkenaan.

Namun, Dzulkefly berkata, pada tahun 2018 semasa pemerintahan PH, proses berada di peringkat semakan semula penghakiman (judicial review) ke atas keputusan yang telah dibuat ICJ pada 23 Mei 2008.

“Tindakan Mohamed Khaled cuba mempolitikkan isu Pulau Batu Puteh ini amat dikesali kerana isu ini adalah berkaitan dengan maruah dan kedaulatan negara serta negeri Johor itu sendiri.

“Peruntukan semakan semula penghakiman ini diperuntukan di bawah Perkara 61, Statue ICJ,” jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu berkata, Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here