Pinjam RM100,000 beli pangkat Superintendan polis

0
484

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat laporan seorang wanita yang mendakwa meminjamkan wang berjumlah RM100,000 kepada seorang pegawai kanan polis dikatakan mahu ‘membeli’ pangkat Superintendan.

Wanita berusia 36 tahun itu membuat laporan polis, Khamis lalu, dengan mendakwa diugut bunuh oleh pegawai kanan polis terbabit dan seorang lagi lelaki selepas beliau cuba meminta pegawai berkenaan membayar semula wang dipinjamkannya.

Menurut laporan BH, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, mengesahkan perkara itu dan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan sebaik saja menerima laporan itu.

“Pegawai kanan polis itu akan dipanggil pada bila-bila masa untuk dirakam percakapan.

“Pada masa sama, kertas siasatan kes itu juga sudah dibuka oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara,” katanya.

Dalam laporan polis berkenaan, wanita terbabit mendakwa pegawai kanan polis yang bertugas di Negeri Sembilan itu serta rakannya secara berasingan telah mengugut akan membunuh beliau dan keluarga kerana meminta wang pinjaman dipulangkan.

Wanita itu juga mendakwa pegawai terbabit bersetuju membayar balik wang berkenaan sekiranya perjanjian ‘membeli’ pangkat tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu pula mengesahkan keterangan pegawai polis terbabit dan rakannya sudah diambil bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan jenayah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here