[VIDEO] Umur 13 tahun sudah menjadi pembangun perisian komputer

0
435

SIAPA sangka seorang remaja yang baru sahaja berusia 13 tahun sudah mampu membangunkan perisian sendiri serta ketika itu telah memiliki kira-kira 400 pelanggan dan meraih pendapatan sebanyak RM50,000 menerusi perisiannya.

Peserta program Digital Ninja yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) iaitu, Muhammad Akmal Hazim Hafizul Rasydan yang kini menuntut di tingkatan empat, SMK Shah Alam, Selangor hanya bermula dengan minatnya terhadap permainan video.

Dirinya yang meminati permainan video Minecraft ketika berusia 12 tahun kemudian berjinak-jinak dalam pembangunan pelayan (server) sendiri untuk permainan tersebut sebelum mula membangunkan perisian komputer pertamanya pada tahun 2018.

“Setahun kemudian saya mula menjalankan projek pembangunan perisian komputer pertama saya iaitu BenchPoint.io, iaitu aplikasi untuk mengesan kelajuan pelayan percuma. Bermula dari situ, saya mula mengasah kemahiran meliputi pembangunan aplikasi mudah alih, web dan pembangunan IoT.

“Pada tahun 2018 saya memperoleh projek pembangunan perisian pertama dari sebuah syarikat dan apa yang menggembirakan saya, mereka berjaya menjana pendapatan sehingga RM1 juta pada tahun pertama menggunakan perisian berkenaan,” katanya ketika hadir sebagai tetamu jemputan dalam sesi Kelas Mingguan #SayaDigital secara maya menerusi Facebook MDEC, baru-baru ini.

Akmal menasihatkan kepada remaja khususnya pelajar yang ingin menceburi bidang tersebut perlu memiliki minat yang tinggi dalam teknologi digital, selain bersungguh untuk menyelesaikan masalah, menguasai matematik dan aktif dalam komuniti digital bagi menambah pengetahuan.

Tambah Akmal, pembahagian masa antara akademik dan pelajaran adalah penting untuk diseimbangkan serta menyifatkan pekerja bebas (freelancer) digital menawarkan waktu kerja yang lebih fleksibel.

“Berbekalkan kemahiran sebagai freelancer, ia membuka lebih banyak peluang untuk kita menceburi kerjaya digital profesional seperti pengurus projek, jurutera penyelesaian, analisis sistem, jurutera hadapan atau belakang tabir, jurutera full-stack, jurutera mudah alih dan jurutera pembangunan operasi,” jelasnya.

Program Digital Ninja ialah inisiatif di bawah #Mydigitalmaker yang bertujuan mengenal pasti pelajar yang mempunyai bakat dalam digital dan menunjukkan potensi besar untuk menjadi pakar teknologi digital masa depan.

Peserta akan menghadiri program direka khas yang menawarkan Pembuatan dan Peningkatan Kemahiran Digital, Pemikiran Kritis, Kepimpinan dan Kemahiran Keusahawanan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here