[VIDEO] Sultan Selangor titah segerakan projek rakyat, sebelum bubar DUN – MB

0
135

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan kerajaan negeri supaya menyegerakan projek berkepentingan rakyat seperti tebatan banjir dan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata susulan itu kerajaan negeri mengekalkan keputusan tidak membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Menerusi perbincangan pada pertemuan lazim bersama Tuanku hari ini, kami bincang banyak perkara terutamanya mengenai pembangunan dan pengurusan ekonomi negeri.

Terdahulu, Amirudin tiba di Istana Bukit Kayangan bagi menghadap Sultan Selangor pada jam 10.05 minit pagi dan pertemuan itu berlangsung sekitar dua jam sebelum beliau meninggalkan istana.

Beliau berkata, perbincangan bersama Sultan Selangor (mengenai keputusan pembubaran DUN) sudah lama dilakukan dan beliau juga sudah memberi gambaran bila ia akan dilaksanakan.

“Justeru, Tuanku meminta supaya kita berbincang dengan pihak berkaitan supaya ia menjadi pilihan raya (Pilihan Raya Negeri) yang cekap kerana ia tidak dilaksanakan bersekali dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya lapor BH Online hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri kini memberi tumpuan pada persiapan bajet yang dijadualkan dibentang pada 28 Oktober ini, bagaimanapun pihaknya mungkin melakukan perbincangan semula selepas tarikh pilihan raya diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, jika bajet dibentangkan ketika PRU, pegawai kerajaan negeri akan banyak bertugas sebagai pegawai pengurus dan petugas-petugas pilihan raya, justeru kelancaran bajet akan terganggu.

“Kemungkinan kita akan tangguh (pembentangan bajet) sehingga habis PRU. Kita akan tengok dari sudut undang-undang dan sebagainya sebab tarikh pembentangan sudah ditetapkan pada 28 Oktober, bagaimanapun saya kena tunggu keputusan SPR,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonan pada PRU akan datang, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor, berkata kebanyakan calon PH adalah penyandang, kecuali Ampang dan Gombak.

Katanya, bagi PKR pula, perbincangan sudah dilakukan dan mereka akan turut menampilkan muka baharu dan calon muda untuk menambah kekuatan pada PKR dan PH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here