[VIDEO] PRU-15: Tiket kapal terbang mahal, warganet dakwa taktik pastikan peratus keluar mengundi rendah

0
1566

SEGELINTIR pengguna media sosial mempersoalkan harga tiket kapal terbang yang mahal selepas tarikh bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diumumkan pada Khamis.

Tinjauan SatuBerita di media sosial mendapati beberapa warganet tidak berpuas hati dengan harga tiket kapal terbang yang mahal untuk tarikh sehari sebelum mengundi.

Seorang pengguna Twitter, Firawan berkata, tiket penerbangan dari Kuching ke Miri yang masih dalam satu negeri Sarawak juga mahal.

“Jangankan tiket kapal terbang KL-KCH, tiket Kuching ke Miri yang sama dalam Sarawak pun mahal harga, untuk tarikh sehari sebelum tarikh mengundi,” ciapnya.

Dia turut memuat naik tangkap layar dua harga tiket penerbangan Kuching ke Miri dengan harga berlainan yang masing-masing berharga RM275 dan RM736.

Seorang pengguna Twitter Nniesa Moy berkata, lebih baik dirinya membuat simpanan untuk melancong menenangkan hati daripada membeli tiket penerbangan yang mahal.

“Better aku saving je duit pergi jalan-jalan menenangkan hati daripada beli tiket penerbangan ‘murah’ ni. Bye! #PRU15,” katanya.

Dia turut membandingkan harga tiket penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines dari Pulau Pinang ke Labuan iaitu masing-masing berharga RM1,653 dan RM1,441.

Manakala seorang lagi pengguna Twitter Syiro Kazama menyatakan kerisauannya untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU-15, tetapi harga tiket penerbangan terlalu mahal.

“Tiket flight mahal, macam mana nak balik mengundi bulan depan?,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna Twitter, Faizulsuermann meluahkan rasa kasihan terhadap pelajar yang duduk berjauhan seperti Sabah dan Sarawak untuk pulang mengundi oleh kerana harga tiket penerbangan yang melonjak mahal.

“Kesian student belajar jauh dekat Sabah Sarawak nak balik tiket penerbangan mahal. Dah la kena pergi balik kalau ikut rate sekarang pergi balik RM1,500 baik pergi melancong luar,” katanya.

Dalam pada itu seorang lagi pengguna Twitter, Drew mempersoalkan adakah kenaikan harga tiket penerbangan taktik bagi memastikan peratus keluar mengundi rendah.

“Tiket penerbangan mahal sampai alam sebalik mata? Betul ke ini taktik biar peratus keluar mengundi rendah? Apasal tak naikkan tiket bas, ETS (perkhidmatan tren elektrik) je terus?,” soalnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU-15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here