Inspektor polis dituduh terima suapan

0
321

ANGGOTA polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohammad Soffi Jalal, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohammad Soffi yang bertugas sebagai pegawai Siasatan dan Perundangan di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, didakwa secara rasuah meminta suapan untuk dirinya berjumlah RM5,000 daripada seorang individu berusia 30 tahun di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, pada 28 Februari 2021.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang membuat aduan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas kesalahan rasuah iaitu memperoleh suatu suapan berjumlah RM7,000 daripada individu sama, di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu, pada 4 Mac 2021.

Memetik laporan Harian Metro, ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang membuat aduan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserah kepada mahkamah, tertuduh dikehendaki lapor sebulan sekali di pejabat SPRM Lahad Datu selain dilarang mendekati atau mengganggu saksi.

Bagaimanapun, peguam Edward Paul yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor anak guamnya yang berkemungkinan akan digantung tugas selain mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak.

Menurutnya, anak guamnya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain tidak mempunyai sebarang halangan atau risiko untuk menghadiri perbicaraan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 (deposit sebanyak RM5,000) dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri dua bulan sekali di Pejabat SPRM Lahad Datu, selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 1 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here