Sindiket simpan rokok seludup dalam kebun durian

0
327

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAKTIK sindiket penyeludupan rokok haram menjadikan kawasan kebun durian di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak, Muar terbongkar apabila diserbu polis pada Isnin lalu.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras bersama-sama PGA Muar melakukan serbuan pada pukul 3.30 petang dan merampas 13,600 karton rokok yang disembunyikan dalam sebuah lori 3 tan jenis Hino dan dua van Nissan.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Superitendan Salehin Suleiman berkata, pemeriksaan menemukan beberapa kotak coklat mengandungi 13,600 karton.

“Dalam 13,600 karton itu pula mengandungi 2,720,000 batang rokok jenis U2 merah. Kita merampas rokok tersebut, tiga kenderaan dan sebuah telefon bimbit.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM3.4 juta.

Katanya, serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok seludup yang tidak bercukai sekitar Tangkak dan Muar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah pemandu van yang mengambil upah untuk menghantar rokok seludup ke lokasi yang ditetapkan mengikut tempahan.

“Modius operandi Sendikit penyeludupan rokok seludup ini dengan menggunakan sebuah premis lot di kawasan kebun durian sebagai tempat simpanan dan pengedaran rokok seludup bertujuan untuk mengaburi mata pihak polis dan agensi penguatkuasaan.

“Ini bagi memastikan sendiket penyeludupan rokok seludup ini berjalan lancar,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan suspek ditahan reman sehingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here