Polis mengaku tidak bersalah buat laporan polis palsu

0
207

SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu pada Ogos lepas.

Tertuduh Koperal S. Varathraju Pillai, 39, memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Varathraju didakwa membuat laporan polis palsu kepada Koperal Aminah Berahim yang merupakan seorang penjawat awam dengan jalan demikian menyebabkan dia menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Pusat, Ipoh pada kira-kira 3.33 petang pada 27 Ogos lepas dan dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala Varathraju diwakili peguam Amrick Singh Sandu.

Amrick memohon jaminan minimum sebanyak RM1,000 atas alasan Varathraju perlu menanggung dua anak berusia 10 dan 13 tahun serta ibunya berusia 61 tahun yang uzur dan menghidap penyakit diabetes selain berpendapatan sebanyak RM2,000 sebulan.

Noor Azreen Liana kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here