Takut nanti, ‘celako’ yang mendatang: Idris Haron

Bidas pemimpin UMNO negeri dari luar tetapi berlagak seperti raja

0
433

DATUK Seri Idris Haron hari ini membuka mulut mendedahkan kenapa beliau bertindak menarik sokongan kepada kerajaan negeri Melaka yang dipimpin Barisan Nasional (BN), menyebabkan kerajaan yang berusia 18 tahun itu tumbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang ini membidas sikap pemimpin UMNO Melaka yang bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan nasib rakyat serta pandangan pemimpin lama di peringkat bawah dan ia jelas membunuh sistem demokrasi.

“Kenapa kerajaan Melaka perlu dijatuhkan. Ramai yang melihat negeri Melaka ini dalam keadaan sukar di mana angka 13 (Adun) lebih besar daripada 15, perlembagaan diperkotak-katikkan.

“Ini membayangkan demokrasi akan dimandulkan. Ini semua ada perkara-perkara yang akan membangkitkan kemarahan rakyat,” katanya ketika sidang media di Melaka hari ini.

Turut hadir, seorang lagi pemimpin UMNO (Adun Pantai Kundor), Datuk Nor Azman Hassan. Sidang media itu diadakah khas bagi menjelaskan tindakan mereka bersama dua lagi Adun menarik sokongan kepada kerajaan dipimpin UMNO.

Mengulas lanjut, katanya pemimpin UMNO juga tidak menghormati perlembagaan apabila membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengumumkan pilihanraya sedangkan mereka hanya meraih 13 sokongan daripada 28 Adun.

“Sekali mereka lakukan, tidak hairan mereka akan lakukan lagi. Semalam saya diisytiharkan secara rasmi dipecat daripada UMNO.

“Bagaimana kami berjuang untuk parti lebih 30 tahun, (sejak) daripada usia muda, seberang lautan nak bawa nama anak muda Melaka, tiba-tiba datang seorang daripada luar Melaka, gah jadi pemimpin UMNO Melaka.

“Seolah-olah dia berkuasa, melupakan jasa orang yang sudah lama berkhidmat, berlagak sebagai raja dan king di Melaka. Ini yang menjadi masalah. Takut nanti, ‘celako’ yang mendatang.

“Saya yakin jika ini beterusan, insha allah, akan ada satu tindakan yang membuka mata rakyat Melaka pada PRU akan datang. Saya percaya rakyat Melaka tak bodoh, mereka bijak berfikir,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here