Nor Azman dakwa bukan dua tapi tiga singa ‘rosakkan’ Melaka

0
375

Oleh RAHIMI MOHAMAD

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mendakwa terdapat tiga pemimpin utama parti yang ‘merosakkan’ negeri Melaka sehingga tercetusnya krisis politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, Nor Azman mendakwa, selama ini beliau bersama ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron juga seolah-olah dipinggirkan kedudukan mereka selaku wakil rakyat dalam sebarang urusan melibatkan UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Kalau Idris kata ada dua singa di atas gunung yang menguasai negeri Melaka, saya pula katakan sebenarnya ada tiga singa yang merosakkan negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Pada Isnin, Idris berkata, mereka bersama-sama dua lagi ADUN tetap meletakkan kepentingan rakyat di atas segalanya kerana banyak perkara tidak terlaksana kerana seolah-olah ‘ada dua singa atas satu gunung’.

Hari ini, UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dikatakan sudah mengeluarkan surat gugur keahlian kepada Idris dan Nor Azman yang memaklumkan keahlian kedua-dua mereka dalam UMNO gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta di bawah Fasal 20.11 dibacakan bersama Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Sebelum ini, mereka bersama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali setelah hilang kepercayaan.

Ekoran itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam juga telah bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14 seperti diumumkan Speaker DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sementara itu, Nor Azman memaklumkan, beliau dan Idris tidak menolak kemungkinan untuk menyertai parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kelak.

Namun, perkara itu ujarnya hanya akan diumumkan pada waktu yang bersesuaian selepas ini.

Katanya, beliau dan Idris sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing tetapi masih membuat pertimbangan bagi memastikan mereka bukan setakat boleh menang, tetapi lebih penting mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu.

“Kami akan buat keputusan parti mana yang akan disertai pada waktu sesuai sebelum PRN tetapi yang dua orang lagi (Norhizam dan Noor Effandi), saya tidak tahu.

“Saya tetap akan pertahankan kerusi DUN Pantai Kundor dan begitu juga Idris saya difahamkan akan kekal bertanding di Sungai Udang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here