[VIDEO]Ahmad Faizal sahut cabaran Farhash

0
412

BERDENTUM guruh di langit, belum tentu hujan akan turun. Di dalam arena politik, sahut menyahut, cabar mencabar adalah asam garam dan itulah perencah yang mewarnai gelanggang.

Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih belum ada petanda jelas bila akan diadakan, namun beberapa nama sudah mula menonjolkan diri untuk menjadi calon.

Bahkan, ada yang sudah siap memilih gelanggang dan lawan.

Pada 25 September lalu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador mengesahkan beliau mungkin akan bertanding menentang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di mana saja beliau menjadi calon.

Alasannya, Farhash yang juga Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menentang calon ‘heavyweight’ dan tumpuan utamanya adalah mengekori di mana Ahmad Faizal bertanding.

Hari ini, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sudah membuka mulut dan secara asasnya bersedia untuk bertarung menentang Farhash.

Ahmad Faizal yang menang di kerusi Parlimen Tambun, Perak secara merendah diri mengakui, lawannya bukan calang-calang, bahkan secara peribadi menganggap Farhash sudah mencapai tahap layak menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau mengakui perlu bekerja lebih kuat untuk menghadapi PRU-15 dan mahu menggunakan sepenuhnya kesempatan yang ada untuk terus menunaikan tanggungjawab membantu rakyat.

Pada masa sama, Ahmad Faizal yang pernah memimpin Perak selaku Menteri Besar mahu memberi lebih perhatian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang memerlukan lebih banyak pembangunan.

Pada PRU 2018, Ahmad Faizal, 51, menang menentang bekas Menteri Kewangan II daripada UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dengan majoriti majoriti 5,320 undi.

Selepas melemparkan cabaran bertanding di Tambun, ada juga ura-ura mendakwa, Farhash sebenarnya berminat mengintai peluang bertanding di Parlimen Kuala Kangsar.

Kerusi itu kini disandang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here