[VIDEO] Di mana rakyat nak salurkan komen nilai menteri

0
395

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob memberikan tempoh 100 hari untuk menilai penanda aras prestasi (KPI) menteri dan timbalan menteri, ramai yang menyambut baik cadangan itu.

Kini, timbul persoalan, bagaimana ia dinilai dan siapa yang boleh menilai, atau memberikan markah kepada prestasi menteri kabinet?

Selepas kerajaan mengesahkan pandangan rakyat juga diambil kira untuk menilai prestasi menteri, timbul persoalan baharu iaitu, di mana rakyat boleh memberikan komen mereka?

Berikutan itu, kerajaan dicadang supaya mewujudkan ruangan khas dalam laman sesawang rasmi setiap kementerian bagi membolehkan rakyat menyuarakan pandangan terhadap prestasi menteri dan timbalan menteri.

Beberapa penganalisis politik bersetuju dengan cadangan mewujudkan ruangan khas di laman rasmi itu kerana ia boleh dibangunkan secara mudah tanpa sebarang kos.

Memetik laporan Berita Harian, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi membangkitkan bagaimana penilaian dibuat. Adakah ia mengambil kira komen netizen dan di mana sepatutnya boleh memberikan komen.

Adakah melalui media sosial seperti Facebook, Instagram atau hanya di saluran tertentu saja. Perkara itu perlu lebih jelas, kerana ada sesetengah menteri yang cukup aktif di media sosial, ada juga orang lama yang agak pasif dalam acara ini.

Jadi, tentunya tidak adil jika mereka hanya dibandingkan berdasarkan komen di media sosial saja. Bagaimanan pula komen netizen bagi setiap laporan di media utama?. Adakah itu juga akan diambi kira.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan, ada banyak kaedah boleh diguna untuk mendapatkan maklum balas dan analisis sentimen ramai terhadap menteri, seperti kajian sikap rakyat terhadap menteri sejak memegang jawatan dan menerusi kajian profesional.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula mencadangkan kerajaan mewujudkan satu portal khas untuk rakyat menyuarakan pandangan atau aduan.

Baginya, jika kerajaan sedia berbuat demikian, ia akan menunjukkan bahawa Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Namun, tegasnya portal itu mestilah aktif, responsif dan komprehensif serta mudah untuk diakses. Ini kerana, apabila rakyat ada akses, mereka akan segera memberi respons.

Namun, jika sekadar tangkap muat dengan memberikan akses tetapi tiada respons daripada kerajaan, sudah pasti tindakan itu akan mengundang reaksi negatif rakyat.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here