PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

0
284

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAKTIK satu sindiket penyeludupan menjadikan sebuah premis sebagai tempat penyimpanan rokok seludup di Jalan Dedap 36, Johor Jaya, Johor Bahru terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan pada pukul 5.45 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun.

Beliau memberitahu, lelaki berkenaan merupakan penjaga premis berkenaan yang sudah dijadikan tempat penyimpanan rokok sejak setahun lalu.

“Kita berjaya merampas 1,806 karton rokok seludup atau lari cukai. Turut dirampas sebuah kereta Produa Bezza yang digunakan dalam sindiket tersebut, wang tunai RM330 dan dua buah telefon bimbit.

“Antara rokok seludup yang dirampas 50 karton rokok jenama Canyon Menthol 20 batang; 54 karton rokok Canyon Blast 20 batang; 266 karton rokok Canyon Premium 20 batang; 295 karton rokok RE King 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seorang lelaki ditahan dan 1,806 karton rokok seludup dirampas dalam satu serbuan dilakukan PGA

Turut dirampas 188 karton rokok RE Bold 16 batang; 278 karton rokok U2 Full Flavour 20 batang; 49 karton rokok M-ONE hijau 20 batang; 98 karton rokok Jenama VSTAR 20 batang dan 88 karton rokok SKY ONE S1 Full Flavour 20 batang.

Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM380,885.

Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Ibu Pejabaat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru. Orang awam perlu terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.

“Ini termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here