Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

0
241

Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru malam kelmarin ditemukan meninggal dunia akibat lemas, pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, mayat Ramdan Sulaiman, 50, ditemukan pada pukul 7.29 pagi manakala mayat Amiruddin Abdul Karim, 53, ditemukan pada pukul 8.03 pagi.

Anggota APM dan bomba mengangkat dua mayat pemancing yang ditemukan pagi ini selepas hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru

“Kedua-dua mayat ditemukan penduduk kampung. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 10 pagi,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua mangsa keluar memancing berdekatan jeti berkenaan sebelum hilang dan hanya bot mangsa ditemukan pada malam kelmarin.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dibantu Pasukan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Johor, APM, polis marin dan polis dalam operasi SAR.

Penduduk kampung menemukan dua mayat pemancing pada pukul 7.29 dan 8.03 pagi

Ketua Bomba Zon 2, Al Hasra Mohamed berkata, penyelaman dilakukan pada 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Kejadian tersebut disedari salah seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas selepas melihat kedua-dua mangsa sedang memancing.

“Selang beberapa ketika, saksi mendengar jeritan meminta bantuan berhampiran bot mangsa dan kemudiannya kedua-dua mangsa hilang dari pandangan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here