[VIDEO] Demi rakyat Muhyiddin telan segala kepahitan

0
309

UKURAN pada kehebatan seorang pemimpin bukan terletak pada gah namanya mahupun jawatannya tetapi sejauh mana beliau sanggup berkorban demi kepentingan rakyatnya.

Contoh terdekat bagi kita ialah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang mengorbankan segalanya oleh beliau demi memastikan negara mencapai kemerdekaan.

Menganjak ke enam dekad selepas era Tunku Abdul Rahman, negara kembali dijajah kali ini oleh musuh halimunan bernama Covid-19.

Covid-19 mula menjajah dan menjarah Malaysia pada ketika negara dilanda ketidakstabilan akibat kerakusan sesetengah pihak untuk merebut jawatan.

Keadaan yang kucar-kacir pada ketika itu telah menyebabkan wabak itu mula menular bagaikan tiada kawalan sehingga pada waktu itu negara ini tersenarai sebagai salah sebuah negara yang paling teruk dilanda Covid-19.

Dan, pada ketika itu kita semua menyaksikan bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima amanah sebagai Perdana Menteri yang diberikan walaupun pada waktu itu beliau sedang bertarung dengan barah.

Perkara pertama yang beliau lakukan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 ialah terus bekerja dan berusaha untuk mengekang pengeluaran Covid-19 dan bukannya membahagikan ‘gharimah’ atau ‘rampasan perang’ untuk mengukuhkan kedudukan.

Langkah pertama yang dilakukan beliau ialah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara selari dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Bahkan, turut diberikan Bantuan Sara Hidup; Moratorium Pinjaman; bantuan untuk peniaga dan usahawan yang terjejas juga bantuan untuk pekerja dan majikan juga telah diadakan.

Semua itu diadakan sementelaah kerajaan pimpinan beliau mengkaji dan merangka satu penyelesaian yang lebih menyeluruh iaitu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah diumumkan pada 24 Februari 2021 yang mana telah membawa Malaysia kepada mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Berdasarkan kejayaan yang dicapai dua bulan sebelum sasaran sebenarnya, program-program pemulihan ekonomi seperti pembukaan sektor pelancongan melalui gelembung pelancongan dan sektor-sektor perniagaan lain mula digerakkan.

Apa yang rakyat dapat? Sedikit kelegaan yang amat besar nilainya dari segi ekonomi dan mental seperti yang dapat dilihat pada kemeriahan sektor ekonomi dari restoran mamak hinggalah kepada perusahaan-perusahaan besar.

Apa yang Muhyiddin dapat? Cercaan, dituduh gagal dan juga pengkhianatan oleh pihak-pihak yang amat dahagakan nama dan pujian serta pengiktirafan.

Apa yang Muhyiddin buat? Senyum, berdiam diri dan terus bekerja untuk rakyat sehinggalah beliau terpaksa melepaskan jawatan akibat pengkhianatan dan juga fitnah-fitnah yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bagai enau di dalam belukar hanya mahu melepaskan pucuk masing-masing.

Rakaman sejarah juga menunjukkan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin telah menjadi asas yang kukuh untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan perjuangan menentang ancaman Covid-19.

Biarpun Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu namun bekas Perdana Menteri sudah ‘menyediakan tapak’ bagi memastikan PICK dan apa juga usaha bagi membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 berjaya.

Walaupun terdapat gangguan politik termasuklah bergema slogan ‘kerajaan gagal’, PICK tidak pernah tergugat dan ia terbukti apabila laporan dari minggu keempat bulan Ogos 2021, Malaysia secara purata memberikan sekitar 448,900 dos vaksin setiap hari dan memberi bayangan bahawa negara akan mencapai kelompok imuniti lebih awal daripada sasaran.

Usaha itu dimangkinkan lagi dengan sokongan barisan Kabinet khususnya Ismail Sabri dan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang terus berjuang bersama Muhyiddin memerangi pandemik Covid-19 ketika parti mereka menarik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Jika dilihat pada semua itu, pasti bagi orang yang boleh berfikir dengan baik menilai semula tohmahan yang mengatakan Muhyiddin tidak layak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri mempertahan pelantikan itu dengan jawapan yang ringkas – Muhyiddin memegang jawatan tersebut sejak MPN  diwujudkan sekali gus kerajaan memberi kepercayaan kepada bekas Perdana Menteri itu menggalas tanggungjawab berkenaan.

Dan, untuk menambah pencerahan kepada perkara itu, Muhyiddin setelah sekian lama berdiam diri menjelaskannya dalam temu bual rancangan Agenda AWANI pada Isnin lepas.

“Kalau dulu saya jadi Perdana Menteri, keputusan saya buat segera. Sekarang ini walaupun saya tidak lagi, tetapi autoriti yang diberikan Perdana Menteri untuk saya membuat keputusan hampir serupa.

“Sekarang ini, bagi saya perancangan yang penting. Antara bidang yang dilakukan MPN adalah mengukuhkan sistem kesihatan awam, ekonomi seperti pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, segerakan proses pendigitalan dan mencari jalan untuk mengukuhkan logistik,” katanya menerusi program Agenda AWANI pada malam Selasa.

Muhyiddin juga menyatakan harapan kerajaan sedia ada akan meneruskan agenda untuk memulihkan negara dari pandemik COVID-19 dan mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

“Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik, saya tahu politik, bukan saya tidak tahu berbahas, hentam lawan (dalam politik). Tetapi saya tahu rakyat susah, saya akan dimarahi kalau saya buat begitu kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.

“Kerana itu, saya sebagai Perdana Menteri (dahulu) dan walaupun tidak lagi kini, (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. That is what we have been doing and I think we have been quite successful in that area.

“It is about recovery, itu penting bagi kita. Jadi itu kalau dapat kita kurangkan, kita dapat membantu rakyat,” kata beliau dalam wawancara itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here