Isu pindah wang MBI RM13 juta:Mukhriz cabar Sanusi buat laporan polis

0
409

Oleh RIZQI ZABIDI

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyarankan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor untuk membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemindahan wang Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah bernilai RM13 juta, semalam.

Menurut Mukhriz, sekiranya laporan tersebut tidak dibuat, beliau menganggap dakwaan Muhammad Sanusi itu dibuat tanpa bukti dan asas.

Justeru katanya, Muhammad Sanusi dicabar untuk memohon maaf dan menarik semula dakwaan tersebut.

“Selain itu, saya tetap akan menimbangkan mengenai tindakan susulan yang akan dibuat berdasarkan perbincangan bersama penasihat undang-undang.

“Saya terkejut dengan dakwaan atau tuduhan liar dibuat Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar yang yang langsung tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah, hari ini.

Menurut Mukhriz, apabila dakwaan liar itu dilaporkan secara meluas di dada akhbar, ia memberi gambaran buruk kepada dirinya, parti diwakili serta kerajaan negeri terdahulu kerana banyak perkara yang tidak jelas dalam kenyataan dikeluarkan Muhammad Sanusi.

“Walaupun begitu, persepsi orang apabila tengok nama saya, angka RM13 juta, perkataan pindah wang dan kemudiannya Kanada, orang akan buat kesimpulan kononnya saya curi duit MBI Kedah sebanyak RM13 juta, masuk akaun di Kanada.

“Saya dapat banyak mesej daripada rakan-rakan, media dan orang tidak dikenali mengenai hal ini.

“Ini tentu jadi topik hangat untuk diperkatakan walhal tiada asas di sebalik dakwaan Muhammad Sanusi itu,” katanya.

Tambahnya, Muhammad Sanusi diminta bertanggungjawab ke atas apa jua kenyataan dikeluarkan dan beliau mengambil serius akan tuduhan liar terbabit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here