Lima lelaki ditahan, 20 senjata api buatan sendiri dirampas

0
284

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bersama-sama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah menahan lima lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti membuat dan menjual senjata api buatan sendiri ditahan dalam satu operasi baru-bari ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, semua lelaki berusia lingkungan 29 hingga 57 tahun itu ditahan bersama-sama 20 laras senjata api jenis bakakuk, ginsuk, senapang angin dan senapang guli serta puluhan peluru hidup.

“Tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 30 tahun dilakukan pada 10 September lalu, di sebuah rumah di Kampung Kigiuk, Ranau.

“Sebaik ditahan polis berjaya merampas dua laras senjata api bersama 11 butir peluru hidup, 30 butir palet senapang angin dan peralatan membuat senjata api.

“Hasil daripada penahanan suspek, polis meneruskan operasi dengan menyerbu beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini dan menahan empat lagi suspek.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh laras bakakuk dan 11 laras senapang bersama peluru hidup dan palet senapang angin,” katanya pada sidang media di IPD Ranau, hari ini.

Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Simiun berkata, polis memandang serius isu pemilikan senjata api dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Katanya, siasatan awal mendapati pemilik senjata api memberi alasan pemilikan senjata api berkenaan digunakan untuk keselamatan tanaman dan memburu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here