Pura-pura jadi nelayan untuk seludup dadah

0
258

Oleh RAHIMI MOHAMAD

LAGAK dua suspek yang kelihatan seperti nelayan dan menggunakan bot kecil kononnya untuk menangkap hasil laut rupa-rupanya taktik mereka untuk menyeludup dadah di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Tanjung Setapa, pukul 7.30 petang, kelmarin.

Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyedari tindakan mencurigakan ekoran dua bot yang dikendalikan dua suspek itu saling merapati antara satu sama lain.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, pasukan operasi Zon Maritim Tanjung Sedili bertindak segera dengan menuju ke arah lokasi untuk serbuan dan pemeriksaan.

Sebuah bot yang ditinggalkan suspek berisi dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM330,000 pada kedudukan 1.6 batu nautika selatan Tanjung Setapa di Kota Tinggi

“Bagaimanapun kedua-dua suspek bertindak meninggalkan sebuah bot di lokasi dan melarikan diri bersama-sama salah satu daripada bot tersebut dengan memecut laju menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Pasukan operasi berusaha mengejar memintas bot suspek, namun suspek nekad meloloskan diri melalui zon ‘traffic separation scheme’ (TSS) dan berjaya melepasi sempadan perairan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.

Simon berkata, hasil pemeriksaan mendapati dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat enam kilogram bernilai RM330,000 disembunyikan dalam tong minyak pada bot berkenaan.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk bot gentian kaca dan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda.

Syabu dengan anggaran berat enam kilogram bernilai RM330,000 disembunyikan dalam tong minyak pada bot

“Kita akan menyiasat lebih lanjut kes ini bagi menjejaki dalang atau pihak terlibat dalam pengedaran dadah kerana aktiviti ini dilihat mula aktif di perairan Johor.

“Bagi menyekat jenayah rentas sempadan khasnya penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pengedaran dadah di perairan Johor, Maritim Malaysia juga telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis bot.

“Orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat atau sebarang salah laku jenayah di laut diminta bekerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan melalui talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here