Pencemaran kimia:Polis Johor-JAS akan buat operasi susulan

0
223

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SELEPAS menahan sembilan individu termasuk seorang pemilik premis bagi membantu siasatan bahan kimia yang dibuang di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru pada malam Selasa lalu, satu susulan serbuan akan dilakukan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiasat dari mana datangnya bahan kimia yang dibuang di tali air kampung tersebut.

“Setakat ini tangkapan untuk siasatan kes ini masih kekal sembilan orang termasuk pemilik premis seperti yang sama maklumkan sebelum ini.

“Mungkin selepas ini akan ada operasi susulan kerana lori yang membawa bahan kimia dipercayai dari lokasi lain, saya percaya (sisa bahan kimia itu) diambil dari lokasi lain.

“Setakat ini baru satu premis sahaja disiasat, kita akan kenal pasti dengan JAS Johor dari mana bahan-bahan kimia ini dibawa dan dibuang di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru pada Jumaat.

Seramai 102 penduduk Kampung Baru Sri Aman dipindahkan
ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia dari sungai berhampiran kampung tersebut pada 10.30 malam Selasa.

Menerusi siasatan pada pagi kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kemudian mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.

Susulan itu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya telah menahan empat suspek termasuk seorang pemilik premis yang disyaki terlibat melakukan pembuangan sisa industri berjadual itu di sebuah kilang, sebelum tangkapan bertambah menjadi sembilan suspek.

Mengulas lanjut, beliau berkata, soal siasat terhadap semua individu yang ditahan terus berjalan dan mereka masih lagi direman.

Pihak polis katanya, akan terus membantu JAS Johor dalam usaha mengesan pihak yang bertanggungjawab membuang sisa buangan kimia tersebut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here