Jangan terus gugur talak parti, kena bagi edah

0
374

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mencadangkan rakyat diberi kuasa menentukan sama ada wakil rakyat kawasan mereka yang melompat parti, perlu diganti atau dikekalkan.

Beliau mahukan satu mekanisme melalui Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti diwujudkan, supaya senarionya lebih terbuka, kerana tidak semua wakil rakyat yang melompat parti itu sebenarnya mahu berbuat demikian.

Namun, katanya perlu ada satu mekanisme kerana tidak semestinya yang melompat parti itu atas alasan hanya kerana bertukar parti, sedangan beliau mungkin dipecat atau berlaku disebabkan kerajaan gabungan.

Jadi, apa yang penting ialah mewujudkan satu sistem di mana wakil rakyat tidak boleh melompat parti sesuka hati pada bila-bila masa.

Bagi tujuan mengawal, situasi itu memerlukan satu mekanisme dan yang paling penting dan wajar ialah rakyat menjadi penentu kepada pengganti.

Alasannya, beliau percaya tidak semua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti akan mewakili parti politik, kerana kemungkinan akan ada calon Bebas.

“Jadi, takkan jika dia bergabung selepas menang, kerusi itu terus ‘digugurkan talak’, kenalah diberikan ‘edah’ kepada pengundi, yang mana kemungkinan dia masuk kepada pihak disokong pengundi,” kata Azalina.

Pada 10 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran, antaranya kesediaan kerajaan untuk membentangkan RUU Anti-Lompat Parti di Parlimen.

Sebelum itu, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pernah menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 ke Parlimen pada 2 September.

Azalina berharap RUU peribadi yang diusulkannya itu dapat diberikan keutamaan untuk dibahas dan diambil alih kerajaan, sebagai asas kepada Akta Anti Lompat Parti serta Akta Pemecatan Ahli Parlimen 2021. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here