Anwar, PH hanya pentingkan diri sendiri – Khairuddin

0
270

DATUK Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dijadikan kawan kerana tidak ikhlas dalam berkawan dan bersikap pentingkan diri sendiri.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Anwar dan PH hanya mahu mempergunakan sokongan lain bagi agenda untuk memartabatkan ketua pembangkang itu sebagai Perdana Menteri semata-mata.

“Ketika hendak menamakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, pemimpin-pemimpin PH datang berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad merayu agar memberi sokongan kepada Anwar.

“Kini, bila mereka hendak berunding dengan pihak kerajaan mengenai senarai pembaharuan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin PH ketepikan parti Pejuang, Warisan dan Muda yang sama-sama mengundi beliau untuk jawatan Perdana Menteri, katanya dalam kenyataan di laman Twitternya hari ini.

Khairuddin berkata, Anwar dan PH hanya mempergunakan sokongan orang lain demi kepentingan diri mereka sendiri dan tidak lebih dari itu.

Semalam, Kerajaan dan PH memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) untuk mengembalikan kestabilan politik negara pada Ahad.

Wakil kerajaan yang menyertai rundingan berkenaan adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Wakil PH pula adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Tiada wakil Pejuang, Warisan dan Muda dalam majlis perbincangan dan perjanjian persefahaman politik berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here