[VIDEO] Tawaran pembaharuan Parlimen Ahmad Maslan satu sogokan terbuka?

0
257

SEMALAM, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan salah seorang daripada dua calon untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat menyenaraikan 20 cadangan bagi melakukan pembaharuan ke atas Parlimen sekiranya dipilih bagi jawatan tersebut.

Antaranya peruntukan RM60,000 setahun dengan kiraan RM5,000 sebulan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas bagi menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing.

Beliau juga menawarkan kepada setiap Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang peruntukan khas untuk sesi libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baharu.

Setiausaha Agung UMNO itu turut mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

Bagaimanapun tawaran tersebut disifatkan oleh para pemerhati politik sebagai satu sogokan terbuka kepada Ahli Parlimen supaya mengundi memilih Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika Dewan bersidang esok.

Tuduhan sogokan terbuka ini sebenarnya dimulakan oleh blok pembangkang sendiri ketika bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat tujuh tawaran bagi kerjasama rentas parti antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada parti-parti lain bagi membolehkan Kerajaan PN terus bertahan meneruskan usaha menangani Covid-19 seterusnya membawa Malaysia keluar daripada pandemik ini.


Bagaimanapun tawaran tersebut ditolak mentah-mentah oleh parti pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang serta Ketua Kumpulan 15 UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan tawaran Muhyiddin itu sebagai satu sogokan terbuka.

Bagaimanapun hari ini Ahmad Maslan yang sedang berhadapan dengan dua pertuduhan di mahkamah iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuat tawaran yang sebelum ini dikatakan sebagai sogokan terbuka itu.

Perbuatan ini jelas menunjukkan sikap hipokrit parti-parti pembangkang dan Kumpulan 15 UMNO termasuk Ahmad Maslan sendiri yang mana tawaran Muhyiddin bagi menyelamatkan negara dituduh sebagai sogokan terbuka manakala tawaran yang serupa daripada Ahmad Maslan tidak pula dianggap sebagai sogokan terbuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here