[VIDEO] Ismail Sabri mesti pegang watak hero

0
594

MAHU atau tidak, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memang tidak boleh lari daripada bayangan dua ‘abang besar’ dalam filem genre politik.

Siapa dan kenapa?. Pertamanya, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keduanya ialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas mendapat sokongan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), khasnya Umno.

Realitinya, Najib dan Ahmad Zahid masih mempunyai pengaruh dan kepentingan politik. Sedangkan, Ismail Sabri cuma sekadar Naib Presiden Umno yang diangkat sebagai perdana menteri untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

Kumpulan 15 daripada Umno inilah yang menjadi penentu nasib kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mereka menarik balik sokongan kepada PN. Sehinggalah tercetusnya perletakkan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan membubarkan kabinet.

Babak mendebarkan itulah yang menarik perhatian ramai terutama penganalisis politik. Persoalannya, adakah sokongan itu benar-benar ikhlas atau disebabkan kepentingan lain.

Adakah Ismail Sabri berkuasa penuh atau masih dibayangi dua pemimpin lebih senior tadi dalam menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan.

Memetik laporan Malaysianow, pemerhati politik membandingkan Umno dengan kumpulan Taliban di Afghanistan dari aspek struktur dan punca kuasa, di mana pemimpin lama terus meningkatkan pengaruh kuasa walaupun parti itu memiliki orang muda yang “lebih terbuka”.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain mengakui kedua-dua pemimpin ini cenderung mengharapkan sokongan Ismail Sabri dan satu daripadanya impian mereka ialah mahu menyelesaikan masalah mereka di mahkamah.

Mereka sudah mencuba taktik itu ketika era Muhyiddin tetapi tidak dilayan dan hasilnya tercetus polimek politik berpanjangan yang menyaksikan gabungan pembangkang dan kumpulan 15 Umno menuduh kerajaan gagal.

Atory sebenarnya merujuk kepada perbicaraan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah yang sedang dihadapi Zahid.

Najib pula dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Perlu diakui, Ismail sebenarnya menduduki puncak pentadbiran dengan sokongan dari PN diketuai Muhyiddin.

Sudah tentu Muhyiddin tidak bersetuju jika penggantinya ini campur tangan dalam hal ehwal mahkamah semata-mata mahu menyelamatkan dua pemimpin senior tadi.

Jika mahu kedudukan lebih selamat atau kuasa penuh, Ismail Sabri mesti bijak dan pantas memenangi sokongan pemimpin Umno bahagian dan cawangan. Ketika ini masih ramai pemimpin kategori ini berpaut pada kapal Najib atau Zahid.

Jangan jadi seperti Taliban. Ismail Sabri perlu bikin skrip sendiri dan mesti pegang watak hero.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here