Gara-gara tertinggal lengkuas, warga emas bercerai atas motosikal

0
371

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG wanita warga emas ditimpa nasib malang, apabila diceraikan suaminya hanya disebabkan dia tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di sebuah pasar di Dungun.

Kejadian dikatakan berlaku sewaktu pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurut Ketua Hakim Syarie negeri Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd, kejadian itu adalah antara beberapa kes perceraian di Terengganu melibatkan alasan remeh-temeh sehinggga menjadi punca perceraian pasangan Islam di negeri ini.

Beliau berkata, lain-lain kes yang dilaporkan termasuklah isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami.

Katanya, selain itu terdapat juga kes perceraian pasangan disebabkan isteri tidak memakai seluar jeans.

Menurut Wan Mohd Zakri, kes warga emas yang tertinggal bungkusan lengkuas itu adalah disebabkan emosi dan marah.

“Kerana terlalu marah menyebabkan suami tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas, sebaliknya secara tiba-tiba melafazkan cerai ketika di atas motosikal.

“Namun, kebanyakan suami yang bertindak seperti ini akhirnya menyesal di atas tindakan tersebut dan segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk kepada pasangan masing-masing,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Wan Mohd. Zakri memberitahu, situasi perceraian berpunca daripada alasan remeh-temeh dan tidak munasabah sentiasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu lagi.

Justeru, beliau menasihatkan golongan suami supaya tidak terlalu cepat emosi dan mesti banyak bersabar.

Malah katanya, suami juga diminta tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati sekiranya berhadapan masalah dengan pasangan masing-masing kerana bakal meninggalkan kesan buruk terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

“Usah terlalu mudah melafazkan perkataan cerai, sebaliknya suami perlu melihat pertimbangan sewajarnya dalam menyelesaikan masalah. 

“Antaranya mengguna pendekatan mendidik, mengajar atau bergurau dengan isteri, bukannya melalui ugutan lafaz talak,” ujar beliau.

Sementara itu, Wan Mohd. Zakri memberitahu, semua mahkamah syariah di negeri ini akan beroperasi sepenuhnya bermula minggu depan dengan memperluas kategori yang boleh didaftarkan berbanding sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here